Sunday, 31 July 2016

Trip Memancing Sekitar Pulau Tioman dan Pulau Pemanggil 2016

Akhirnya pada 28 hingga 30 Julai 2016 dapat juga kami bertujuh En. Anuar, En. Amir. En. Ameran, En. Saleh, En. Sulaiman dan saya menaiki bot bersama Tekong Pak Din menuju ke sekitar Pulau Tioman dan Pulau Pemanggil. Pejalanan mengambil masa 4 jam untuk sampai ke tempat yang dituju dan pada hari tersebut gelombang pun "boleh tahan".

Apa yang hendak diceritakan trip bersama Tekong Pak Din tidak pernah mengecewakan. Pak Din bagi saya seorang tekong yang bukan dalam kategori "pemalas". Dia seorang tekong yang rajin dan bijak mencari pot-pot ikan. Ada ikan gred A dan ada ikan unjam, yang dapat memuaskan hati kami serombongan. Di atas kerajinan itulah juga maka hasilnya tidak mengecewakan. Apa yang hendak diceritakan ialah kami sempat mencandat sotong dan hasilnya 30 kilogram sotong dapat kami naikkan walaupun kata Tekong Pak Din musim sotong baru dipermulaan.

Bagi rakan-rakan atau pengemar mencandat sotong, rakan-rakan sudah boleh mula merancang dan menempah bot untuk aktiviti mencandat. Kata mereka musim sotong akan mula memuncak sekitar pertengahan Ogos hingga penghujung September. Bagi aktiviti mencandat sekitar Pulau Tioman dan Pulau Pemanggil rakan-rakan tidak perlu membeli peralatan candat yang mahal-mahal cukup sekadar candat mayat yang separuh warna merah dan separuh lagi warna putih. Elak dari membeli candat mayat separuh hijau dan separuh putih. Harga candat mayat ini kurang dari sepuluh ringgit untuk lima batang candat. 

Selamat mencuba.





































Sunday, 24 April 2016

Mencandat Sotong Torak Marang Terengganu

Pada tahun ini sekali lagi kami turun ke Marang Terengganu bagi aktiviti mencandat sotong yang musimnya telah pun bermula. Pada kali ini kami bertujuh, 3 dari Johor dan 4 dari Selangor seawal 6.00 pagi pada 22 April 2016 telah sampai dan menunaikan solat Subuh di Masjid Seberang Marang. Selepas itu kami dijemput oleh Cikgu Fatimah pemilik Damai Homestay untuk berehat di Homestay Damai miliknya.

Ternyata musim mencandat telah bermula. Ramai yang memenuhi Jeti LKIM Marang untuk turun mencandat tidak kira lelaki atau perempuan. Suasana begini telah menjadi lumrah apabila tiba musim mencandat. Bagi yang mengemari aktiviti mencandat jangan lepas peluang untuk merasai sotong segar yang dicandat tanpa menyentuh air batu.

Kami mula menaiki bot menghala ke Pulau Kapas sekitar jam 5.00 petang dan bot mula berlabuh dilokasi "kandang sotong" sekitar jam 7.00 malam. Dari situ bermulalah aktiviti kami. Tanpa menunggu lama seorang demi seorang dalam kalangan kami menaikkan Sotong Torak yang semuanya bersaiz mega. Hasil yang dituai tidak mengecewakan. Kami pasti akan ke sini lagi pada tahun hadapan jika masih ada peluang kerana hasil dilokasi ini pasti tidak mengecewakan.

Pada tahun ini juga kami bercadang untuk ke sekitar Pulau Tioman bagi aktiviti mencandat yang biasanya musim akan bermula sekitar bulan Julai dan Ogos. 









Hasil Candat - Tidak Mengecewakan Baru Permulaan


 







Kesempatan bertemu rakan semasa menuntut di UKM Alias Bin Ali dan Yahya Muda - Restoran Mat Binjai [Restoran Selera Kampung Sungguh Enak, Bagi Penggemar Telur Penyu Pun Ada]





Seawal Subuh Kami Sudah Tiba Di Sini Masjid Seberang Marang





Jeti LKIM Marang






 Pemandangan Indah Waktu Mentari Mula Memunculkan Diri


Iktibar dan Renungan