Tuesday, 19 June 2012







Panorama Keindahan Bila Matahari Mula Menampakan Diri





Panorama Keindahan Laut Dalam Perjalanan Pulang

Pesta Candat Sotong Pulau Tioman










Trip pada kali ini [16 dan 17 Jun 2012] memang kami berlima memasang hajat yang besar untuk mencandat sotong di lubuk sotong yang terletak di hadapan Pulau Tioman. Kami mula menaiki bot bersama tekong Zohrin pada pukul 4 pagi, kerana air pasang lewat malam. Tekong mula melabuhkan bot sekitar pukul 8.30 pagi di kawasan unjam bagi mencari umpan ikan hidup, setelah kami mendapat bekalan umpan, tekong mula bertolak ke kawasan karang, tetapi pada kali ini rezeki kami kurang, pancing kami hanya sesekali disambar ikan, itu pun bukan ikan kelas A, kami mula memasuki kawasan sotong sekitar pukul 2 petang tanpa membuang masa kami terus mencandat dan kami tak perlu menunggu lama candat kami mula disambar sotong. Pesta mencandat kami telah bermula. Kami berpeluang mencandat dari pukul 2 petang hingga lepas maghrib sahaja kerana selepas itu angin mula bertiup agak kencang menyebabkan kami terpaksa mencari perlindungan dengan bergerak ke arah Pulau Pemanggil walau bagaimanapun hati kami puas kerana dapat menaikkan sotong sekitar 20 - 30 Kilogram untuk dibawa naik ke darat. Bagi rakan-rakan pemancing jangan lepas peluang jika ada masa memancing dan berkunjung, untuk mencandat sotong di hadapan Pulau Tioman dan saya pasti rakan-rakan akan merasa puas dapat menaikkan sotong-sotong yang bersaiz besar bukan seperti yang kita selalu jumpa di pasar atau Pasar Malam. Namun 2 rakan kami tewas pada kali ini dengan menikmati mabuk percuma.. Jumpa lagi..........

Tuesday, 29 May 2012

Belajar Ikat Candat

Musim Candat Sotong Dah Bermula

Belajar Ikat Candat : Sumber Blog Abe Din



Candat Sotong

Pada kesempatan ini, sebagaimana diketahui umum, sotong torak (gambar sebelah yang dijumpai di internet) telah mula menyerang perairan Terengganu sejak akhir Mac lagi. Maka, kaki-kaki sotong bertaraf otai, baru atau tak pernah langsung mencandat sebelum ini mula berkira-kira merancang trip untuk ke Terengganu. Tujuan mereka tentunya mencandat sotong torak. Ada juga yang secara sambilan memancing ikan.


Cuba tengok gambar di atas. Siapa yang tidak terliur bila terbayangkan sotong bakar. Saiz sotong pula... wuiii.. semangat gila. Jika kena lubuk.. sotong yang dinaikan panjang-panjang belaka. Jika sudah rezeki, siap boleh jual sotong yang ditangkap. Tolak kos bot.. untung pula.Bagi memberi panduan kepada semua pencandat baru, Abe Din akan menumpukan post-post yang berkisar kepada teknik tangkapan sotong torak. Jika ada kemusykilan.. tanya tau... jangan malu-malu.

Gambar di atas merupakan set yang biasa digunakan bagi memancing sotong torak. Berikut adalah petunjuk bagi rajah di atas:
A-Klip logam (Kekili)
B-Candat mayat merah putih jenis luminous
C-Candat timah atau batu ladung.

Abe Din syorkan anda menggunakan candat kepala merah berbadan putih jenis luminous. Candat jenis ini memang nampak tidak menarik tetapi sebenarnya power. Jenis biasa tanpa luminous lebih murah tetapi kurangganas. Candat ini dijual dalam set-set tertentu dan mudah dijumpai di kedai-kedai pancing di Terengganu.

Candat kepala merah yang power

Cara mengikat candat di atas ke tali perambut sama seperti mengikat mata kail apollo. Kalau tak tahu.. minta tolong mereka yang mahir. Anda boleh memasang seberapa banyak candat yang anda mahu jika anda mampu mengendalikan tali kusut dengan baik. Untuk junior, Abe Din cadangkan anda memasang di antara 3 hingga 5 candat.

Jangan pasang candat terlalu dekat antara satu sama lain. Dibimbangi candat bawah dan atas akan tersangkut bersama. Disebabkan sotong torak mempunyai badan yang panjang, perlu diambil kira panjang berkenaan dalam menganggar jarang antara candat. Jika teknik ini tidak dipatuhi, sotong yang terkena candat akan tersangkut pula pada mata candat di bahagian ekornya dan peluang pemancing untuk mendapatkan lebih sotong dalam satu masa akan terjejas.

Candat timah

Candat di atas diletak di bahagian paling bawah tali perambut. Tujuannya untuk memastikan tali perambut sentiasa berada di dalam keadaan tegak, melurus ke bawah. Jika candat di atas tiada, anda boleh gantikan dengan batu ladung yang bersesuaian saiznya. Jika batu ladung digunakan.. tentunya tiada sotong yang sudi menyambar batu ladung berkenaan.  Setakat ini, candat timah berwarna merah merupakan candat yang paling berjaya menambat hati sotong.

Ketika anda menurunkan candat, pastikan anda menurunkan candat timah terlebih dahulu. Turunkan secara perlahan-lahan. Tindakan tergesa-gesa akan menyebabkan tali anda  berpintal. Proses meleraikannya memang menyiksakan batin kerana orang lain sedang sibuk menaikan sotong sambilmemprovokasi emosi anda.

Jika sotong memegang candat anda, layan seperti biasa dengan drag kekili dilaras mengikut berat sotong. Jika anda menggunakan serek, rapatkan tali pada tepi bot dan lepas tali secara terkawal jika henjutannya semakin keras dan kuat. Bila tiada tarikan... anda perlu tarik tali  perlahan-lahan. Jangan tarik sotong seperti menarik ikan ... jika bernasib baik anda akan dapat double atau triple..

Selepas sotong pertama dinaikkan. Jangan membuang masa... turunkan candat dengan segera. Sotong torak makan mengikut pergerakan arus. Jika kumpulannya berada di bawah bot anda, semua pemancing akan merasa tarikan sotong. Untuk menaikkan semangat anda, bayangkan sotong berkenaan akan menjadi sotong bakar yang enak apabila anda tiba di daratan nanti..

Jangan terkejut jika sotong jenis lain juga dinaikan. Sotong yang biasa bermain bersama sotong torak termasuklah sotong ketupat dan sotong jarum. Sotong mabang sangat jarang dan hampir tiada kerana sotong ini suka bermain di kawasan berstruktur.

Jika anda pergi mencandat nanti, jangan lupa mengambil gambar yang cantik-cantik. Akhir kata, selamat memancing.. dan selamat mencandat. Jumpa lagi.

Wednesday, 7 March 2012

Ibu Kaci Pulau Tengah Mersing

Pada 3 Mac 2012 kami bertujuh mulai menjamah dan bermain air laut Mersing sekitar 1.30 pagi destinasi kami adalah sekitar Pulau Tengah yang menjadi Lubuk bagi ikan Kaci. Tekong yang membawa kami En. Zohrin mula melabuhkan bot sekitar 2..45 pagi dan apa yang berlaku kami tidak perlu menunggu lama apa bila seorang demi seorang di kalangan kami batang pancing mula disambar rakus oleh Ibu Kaci. Rata-rata kami dapat menaikkan Ibu Kaci seberat 1 kg - 3 kg. Kami berada sekitar Pulau Tengah sehingga subuh pagi.

Dalam pada itu kami turut menaikkan  2 ekor ikan yu yang menyambar pancing  En. Jamal walaupun ikan yang menyambar bukanlah gred A tapi sahabat kami menikmati kepuasan bertarung dengan yu tersebut. Bagi kami sekitar Pulau Tengah, Pemanggil dan Tioman adalah kawasan yang sangat memberi kepuasan kepada kaki pancing tegar. Pada rakan-rakan kaki pancing yang belum tiba ke sana jika ada peluang jangan lupa ke sekitar pulau tersebut dan pasti rakan-rakan akan menikmati kepuasan walaupun muka dan badan menggelupas dibakar terik matahari.

Ibu Kaci Pulau Tengah


Laut Yang Tenang Tapi Arusnya Laju



Batang Pancing Belum Mengena













Sebahagian daripada hasil tangkapan kami pada 3 dan 4 Mac 2012 yang telah memberi kepuasan setelah lama juga bercuti memancing kerana laut bergelora